Saturday, September 26, 2009

Mitos memberus gigi~



Berikut adalah mitos tentang memberus gigi yang anda harus ambil kira:

1. Berkongsi berus gigi tidak berbahaya.

Ini mungkin satu penyelesaian masalah yang senang apabila anda lupa membawa atau tersalah letak berus gigi anda di mana-mana, tapi ini tidak sepatutnya menjadi satu pilihan. Pertukaran cecair badan di antara mereka yang berkongsi berus gigi boleh menyebabkan seseorang individu berisiko mendapat jangkitan daripada bakteria yang menyebabkan pereputan gigi, penyakit gusi dan penyakit serius. Ini haruslah dipertimbangkan khususnya bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti yang rendah dan penyakit berjangkit.

2. Berus yang sederhana melakukan kerja yang lebih baik daripada berus lembut.

Walaupun bunyinya logik, realitinya, berus sederhana lebih mendatangkan bahaya dengan mencederakan tisu gusi. Menggunakan teknik memberus gigi yang betul, dengan berus yang lembut adalah lebih berkesan untuk menanggalkan plak dan sisa-sisa makanan, serta meninggalkan permukaan gigi yang lebih bersih dan tisu gusi yang sihat. Dalam sesetengah kes, berus gigi yang lebih (amat) lembut mungkin disyorkan (bagi mereka yang mempunyai permukaan akar yang terbuka, hipersensitiviti, mereka yang telah melakukan terapi laser atau pembedahan periodontal). Jika anda tidak pasti, silalah tanya doktor gigi anda dan dapatkan nasihat tentang berus gigi yang terbaik bagi anda.

3. Oleh kerana saya memberus gigi dua hingga tiga kali sehari, saya tidak perlu berflos.

Walaupun memberus gigi setiap kali selepas waktu makan dan waktu snek mengurangkan risiko dan mengelakkan daripada pereputan gigi serta penyakit gusi, ini tidak dapat menggantikan flos. Flos dental masih merupakan cara paling berkesan untuk membersihkan kawasan sentuhan, juga permukaan gigi di bawah garisan gusi di mana berus gigi tidak dapat mencapainya.

4. Lebih besar kepala berus lebih banyaklah ia membersih.

Kepala berus gigi yang besar mungkin boleh meliputi lebih banyak kawasan di permukaan gigi, tetapi ia juga boleh menghalang anda daripada membersihkan kawasan yang sukar dicapai. Kepala berus gigi yang kompak dan kecil adalah lebih elok untuk masuk ke kawasan sukar dalam mulut dan lebih senang untuk membersihkan gusi di sepanjang garisan gusi, membolehkan anda memberus gigi dengan lebih cekap dan berkesan.

*********************

Sumber dari Utusan Malaysia Online~