Thursday, July 8, 2010

~Faedah-faedah ahli KWSP~



FAEDAH PERSARAAN

Simpanan KWSP adalah simpanan untuk persaraan anda. Apabila anda menyimpan 9 peratus daripada pendapatan anda dengan KWSP, majikan anda akan menambah 12 peratus lagi (kadar caruman ini tertakluk kepada perubahan yang ditetapkan oleh kerajaan). Jumlah 12 peratus yang dibayar oleh majikan anda itu adalah untuk faedah persaraan anda iaitu apabila anda tidak berupaya untuk bekerja lagi. Oleh itu, jika anda tidak mencarum, anda akan kehilangan faedah persaraan yang disediakan oleh majikan anda itu.

DIVIDEN

Caruman yang disimpan di KWSP akan ditambah dengan dividen pada setiap tahun. Ini akan menjadikan simpanan anda bertambah dari setahun ke setahun sehingga tarikh anda bersara dan mengeluarkan kesemuanya.

BANTUAN HILANG KEUPAYAAN DAN BANTUAN KEMATIAN

Sebagai sebuah organisasi yang menjaga kepentingan kaum pekerja setelah mereka bersara, KWSP turut memberi sumbangan saguhati kepada ahli-ahlinya yang ditimpa bencana. Dalam hal ini, KWSP ada menyediakan bantuan hilang keupayaan kepada ahli dan bantuan kematian kepada waris ahli. Bantuan ini merupakan bayaran ihsan untuk Skim Pengeluaran Hilang Keupayaan dan Skim Pengeluaran Kematian sebagai tanda simpati KWSP kepada anda dan waris anda.

BANTUAN HILANG KEUPAYAAN

Sejumlah RM 5,000.00 akan diberikan kepada anda jika anda layak mengeluarkan kesemua simpanan anda atas sebab hilang keupayaan. la bertujuan untuk meringankan bebanan yang anda tanggung. Bayaran akan dibuat kepada anda selepas anda menerima bayaran pengeluaran simpanan anda.

BANTUAN KEMATIAN

Bantuan ini berjumlah RM 2,500.00 akan diberikan kepada orang tanggungan anda jika anda meninggal dunia. Bantuan ini akan dibayar kepada orang tanggungan anda mengikut budi bicara KWSP.

PELEPASAN CUKAI PENDAPATAN

Jika anda membayar caruman KWSP, anda akan mendapat pelepasan cukai pendapatan ke atas caruman tersebut sehingga jumlah maksimum RM5,000.00 (termasuk pelepasan untuk bayaran premium insuran nyawa). Selain daripada itu, simpanan KWSP anda juga terkecuali daripada dikenakan cukai pendapatan. Ini bermakna, anda tidak perlu membayar cukai pendapatan ke atas simpanan yang anda keluarkan di bawah mana-mana skim pengeluaran
simpanan KWSP.